E-dagang · Bahasa Melayu

Shopify vs WooCommerce: mana satu sebenarnya lebih jimat?

Shopify nampak mudah. WooCommerce nampak percuma. Dua-dua ada “pakar” di Threads yang bersumpah platform mereka paling murah. Jadi kami kira sendiri kos sebenarnya untuk seller di Malaysia, termasuk satu yuran yang ramai tak perasan sampai bil pertama sampai.

Shopify vs WooCommerce: mana satu sebenarnya lebih jimat?
Jawapan ringkas

Untuk jualan kecil, Shopify Basic lebih mudah dan kosnya boleh diramal. Tapi di Malaysia, Shopify Payments tidak disediakan, jadi bila guna payment gateway luar Shopify caj 2% tambahan setiap jualan (pelan Basic). Pada jualan RM10,000 sebulan, itu RM2,400 setahun. WooCommerce tiada yuran peratus kepada platform, tapi perlu hosting dan penjagaan. Bila jualan dah stabil, WooCommerce biasanya lebih jimat.

Beza ringkas: menyewa kedai vs membina kedai sendiri

Cara paling mudah nak faham:

  • Shopify macam menyewa lot di mall. Semua dah siap: hosting, keselamatan, kemas kini. Anda bayar sewa bulanan, dan mall ambil sedikit daripada setiap jualan.
  • WooCommerce macam membina kedai atas tanah sendiri. Plugin percuma, dipasang pada website WordPress anda. Tiada sewa kepada platform, tapi anda (atau orang yang anda upah) perlu jaga bangunan itu.

Dua-dua bagus. Soalannya bukan “mana yang terbaik”, tapi “mana yang lebih jimat untuk bisnes anda”.

Kos sebenar Shopify untuk seller di Malaysia

Menurut halaman harga Shopify (Oktober 2026), harga dalam USD:

PelanBayar bulananBayar tahunan (sebulan)Yuran bila guna payment gateway luar
BasicUS$25US$192%
GrowUS$65US$491%
AdvancedUS$399US$2990.6%

Inilah yang ramai tak perasan: Shopify Payments tidak disediakan di Malaysia. Jadi seller di sini perlu guna payment gateway lain (contohnya ToyyibPay, Billplz atau Stripe), dan Shopify mengenakan yuran tambahan di atas yuran gateway itu. Pada pelan Basic, itu 2% daripada setiap jualan.

Tambah lagi: langganan dibayar dalam USD (jadi kos dalam ringgit berubah ikut kadar tukaran), dan banyak app Shopify yang berguna juga caj bulanan dalam USD.

Kos sebenar WooCommerce

Plugin WooCommerce percuma, tapi kedai online tetap ada kos:

  • Hosting dan domain: biasanya beberapa ratus ringgit setahun untuk kedai kecil, bergantung pada pembekal.
  • Yuran payment gateway sahaja: contohnya ToyyibPay mengenakan RM1 untuk setiap transaksi FPX pada pelan Standard. Tiada yuran peratus kepada platform.
  • Plugin berbayar, jika perlu (banyak yang percuma mencukupi untuk bermula).
  • Penjagaan: kemas kini, backup dan keselamatan. Anda boleh buat sendiri, atau guna pelan penjagaan.

Kira sendiri: jualan RM10,000 sebulan

Contoh dengan angka andaian: 100 order sebulan, purata RM100, bayar melalui FPX.

Kos sebulanShopify BasicWooCommerce
Langganan platformUS$25 (bulanan)RM0
Yuran Shopify 2% (gateway luar)RM200RM0
Yuran FPX (RM1 × 100 order)RM100RM100
Hosting & penjagaanTermasukHosting + pelan penjagaan, jika guna

Yuran 2% itu sahaja dah RM2,400 setahun pada jualan RM10,000 sebulan, dan ia naik setiap kali jualan anda naik. Pada jualan RM2,000 sebulan pula, 2% hanya RM40, dan kemudahan Shopify mungkin berbaloi.

Jadi, mana satu untuk anda?

Pilih Shopify kalau…

  • Anda baru bermula dan jualan masih kecil.
  • Anda nak urus semua sendiri tanpa fikir hosting atau kemas kini.
  • Anda nak app siap pakai, contohnya app EasyParcel untuk Shopify yang boleh cipta penghantaran secara automatik.

Pilih WooCommerce kalau…

  • Jualan anda dah stabil dan yuran peratus mula terasa.
  • Anda nak kawalan penuh ke atas reka bentuk, data dan pelanggan.
  • Anda ada orang (atau pelan penjagaan) untuk jaga website.

Ada juga pilihan buatan Malaysia seperti EasyStore, yang menyatakan 0% yuran transaksi pada semua pelan dengan langganan dalam ringgit. Bandingkan juga kos marketplace dalam berapa sebenarnya Shopee & TikTok Shop ambil dari setiap jualan anda.

Tak perlu kedai online penuh lagi? Baca cara automate order, bayaran dan delivery tanpa website berat.

Tak pasti mana satu? Kami kira untuk anda

Website e-dagang Shiok Digital bermula dari RM2,500, satu harga tetap. WhatsApp kami apa yang anda jual dan anggaran jualan bulanan, dan kami cadangkan platform yang paling jimat untuk bisnes anda.

Soalan lazim

Shopify atau WooCommerce, mana lebih murah?

Bergantung pada jumlah jualan. Untuk jualan kecil, Shopify Basic lebih mudah dan kosnya boleh diramal. Bila jualan naik, yuran transaksi Shopify (2% pada pelan Basic bila guna payment gateway luar) mula jadi mahal, dan WooCommerce yang tiada yuran platform biasanya lebih jimat dalam jangka panjang.

Kenapa Shopify caj 2% lagi kalau saya dah bayar payment gateway?

Shopify Payments tidak disediakan di Malaysia, jadi seller di sini perlu guna payment gateway lain seperti ToyyibPay, Billplz atau Stripe. Bila guna gateway luar, Shopify mengenakan yuran tambahan: 2% pada pelan Basic, 1% pada Grow dan 0.6% pada Advanced, di atas yuran gateway itu sendiri.

WooCommerce betul ke percuma?

Plugin WooCommerce percuma, tapi anda tetap perlu bayar hosting, domain dan yuran payment gateway, dan kadang-kadang plugin berbayar. Website juga perlu dikemas kini dan dibackup secara berkala. Bezanya, tiada yuran peratus kepada platform untuk setiap jualan.

Ada pilihan buatan Malaysia?

Ada. Contohnya EasyStore, platform kedai online dari Malaysia yang menyatakan 0% yuran transaksi pada semua pelannya, dengan langganan bulanan dalam ringgit. Semak harga terkini di laman mereka sebelum membuat keputusan.

Berapa kos Shiok Digital buat kedai online?

Website e-dagang Shiok Digital bermula dari RM2,500, satu harga tetap dipersetujui sebelum kerja bermula. WhatsApp kami apa yang anda jual dan anggaran jualan bulanan, dan kami bantu kira platform mana yang paling sesuai.

WhatsApp kami untuk sebut harga